Friday, June 12, 2009

Pendirian Pas terhadap SIS tidak berubah

KUALA LUMPUR 11 Jun - Pas tetap bertegas supaya Majlis Fatwa Kebangsaan melakukan penyelidikan ke atas Sister In Islam (SIS) dan mengharamkannya jika bertentangan dengan syariat Islam.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, ini kerana SIS bukannya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam malah ahlinya juga tidak mampu untuk bercakap mengenai Islam berdasarkan ilmu.

Beliau menegaskan, Pas pernah berunding dan menegur pandangan SIS yang bercanggah dengan Islam tetapi usaha itu tidak berhasil

"Kita telah menghantar (Ahli Jawatankuasa Pas Pusat) Dr. Mariah Mahmod menyertai majlis anjuran SIS dan menegur pandangan mereka yang bercanggah dengan Islam.

"Tetapi mereka sentiasa beri pandangan bukan daripada ilmu mereka. Adalah tak wajar seorang yang bukan nelayan cakap mengenai nelayan, orang dari Somalia kita suruh cakap tentang angkasa lepas, nak cakap mengenai angkasa lepas mestilah orang dari NASA (Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan), kalau tanya tentang lanun dan rompakan bolehlah dia jawab," katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Pas Pusat bagi penggal 2009-2011, di sini hari ini.

Minggu lalu, Muktamar Pas Ke-55 menerima tanpa bahas usul Pas kawasan Shah Alam supaya Majlis Fatwa Kebangsaan membuat penyelidikan ke atas SIS yang didakwa membawa aliran Islam liberal dan mengharamkannya jika terbukti bertentangan dengan syariat Islam.

Ditanya adakah pendirian itu akan 'mencederakan' persepsi masyarakat bukan Islam kepada Pas, Abdul Hadi menegaskan:

"Yang 'mencederakan' ialah SIS sendiri, orang tahu dia bercakap tanpa ilmu."

Mengenai reaksi pakatan pembangkang yang kurang bersetuju dengan pendirian berkenaan, beliau berkata: "Itu saya tidak tahu, yang saya beritahu adalah pandangan Pas."

Pendirian Abdul Hadi itu bagaimanapun berbeza dengan kenyataan Yang Dipertua Pas Shah Alam, Abdul Khalid Samad yang dilaporkan sebuah portal berita akan memaklumkan kepada Pas Pusat supaya membuang perkataan 'mengharamkan' dalam usul itu dan menggantikannya dengan perkataan 'berbincang'.

Beliau menjelaskan, usul yang dihantar kepada jawatankuasa usul parti itu 'bukanlah versi terakhir tetapi yang belum dipinda'.

"Usul itu datangnya daripada Dewan Muslimat kawasan. Tetapi oleh kerana kesuntukan masa dan tergesa-gesa, ia tidak dibahaskan dalam mesyuarat kawasan dan terus dihantar," katanya.

No comments:

Post a Comment