Friday, June 12, 2009

Hadi elak ulas kerajaan perpaduan

KUALA LUMPUR 11 Jun - Idea kerajaan campuran masih kabur, malah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (gambar) sendiri berdolak-dalik sewaktu mengulas mengenainya.

Walaupun diasak dengan soalan berkaitan kerajaan perpaduan pada sidang akhbar di Pejabat Agung Pas, hari ini, Abdul Hadi berkata, beliau akan membuat penjelasan sekiranya ditanya oleh ahli parti dan kepimpinan pakatan pembangkang.

"Bila ahli saya tanya, baru saya jawab. Pakatan (pembangkang) tanya, saya jawab.

"Sebabnya kalau saya jawab, akhbar tidak boleh melaporkan maklumat terperinci sebagaimana kenyataan saya di muktamar," katanya.

Idea kerajaan perpaduan pernah dikemukakan sebelum ini tetapi senyap seketika apabila mendapat bantahan pihak tertentu termasuk Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tetapi ia timbul semula dalam Muktamar Pas Ke-55 yang berakhir Ahad lalu.

Dalam muktamar tersebut Abdul Hadi serta barisan kepimpinan kanan parti komited untuk meneruskan gagasan kerajaan perpaduan kerana ia mampu menyelesaikan banyak masalah dalam negara.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Hadi berkata, kerajaan perpaduan sebenarnya masih belum dibincangkan semasak-masaknya dalam Pas malah belum dicadangkan kepada pakatan pembangkang.

Katanya, walaupun idea itu mendapat reaksi positif pada muktamar parti itu, ia hanyalah satu perbincangan ilmiah sahaja.

Ditanya adakah ia bermakna idea itu tidak akan diteruskan, Abdul Hadi berkata: "Sehingga hari ini kita tidak membuat keputusan."

Katanya, mesyuarat pertama Jawatankuasa Pas Pusat Sesi 2009-2011 yang dipengerusikannya hari ini juga langsung tidak menyentuh mengenai kerajaan perpaduan.

Berhubung kritikan Pengerusi DAP, Karpal Singh dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng terhadap Pas ekoran idea kerajaan perpaduan, Abdul Hadi berkata : "Itu laporan media, saya belum jumpa beliau lagi."

No comments:

Post a Comment